Kaherah – Seramai 53 orang terbunuh selepas penyokong tentera Mesir dan bekas presiden, Mohamed Morsi serta anggota keselamatan bertempur kelmarin.
Militan juga disyaki membunuh sembilan askar Mesir dekat Terusan Suez selain melancarkan bom roket ke arah sebuah stesen satelit di Kaherah.
Beribu-ribu penyokong Morsi bertempur dengan anggota keselamatan dan penyokong tentera meskipun kedua-duanya menyambut kemenangan tentera dalam perang dengan Israel pada 1973.
Mesir dan Israel menandatangani perjanjian damai pada 1979.
Pihak berkuasa memberi amaran, sesiapa yang membantah terhadap tentera pada sambutan itu akan dianggap ejen negara asing dan bukan aktivis.
Keadaan sedikit tenang semalam dengan aliran lalu lintas bergerak perlahan di tengah ibu kota.
Penyokong Morsi lebih ramai
Kementerian Kesihatan berkata 271 penduduk cedera dalam pertempuran, kebanyakannya penyokong Morsi.
Pertempuran meletus selepas penyokong tentera yang tiba lebih awal di Dataran Tahrir cuba menyekat penyokong Morsi dan Ikhwanul Muslimin berada di situ.
Ketegangan politik sejak tentera menyingkirkan Morsi 3 Julai lalu menggusarkan pelabur asing dan menyekat pelancongan, tonggak ekonomi, namun tiada tanda Ikhwanul Muslimin dan kerajaan disokong tentera boleh bertolak ansur.
Pasukan keselamatan memusnahkan kem penyokong Mursi di sini 14 Ogos lalu, mencetuskan pertempuran yang mengorbankan beratus-ratus orang.
Pihak berkuasa kemudian menahan ramai pemimpin Ikhwanul Muslimin yang terus menentang dan menganjurkan bantahan, walaupun ia lebih kecil.
Pemimpin tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi, dalam satu temuramah akhbar al-Masry al-Youm, berkata kepentingan nasional Mesir berbeza dengan Ikhwanul Muslimin sebagai sebuah organisasi.
Sisi, dalam temuramah sebelum keganasan meletus, juga bercakap mengenai pertemuannya dengan Morsi awal tahun ini sebelum pemimpin itu disingkirkan.
“Saya memberitahu Morsi pada Februari lalu – anda gagal dan projek anda sudah tamat,” menurut al-Masry al-Youm memetik Sisi sebagai berkata.
Beku aset Ikhwanul Muslimin
Sisi menafikan tuduhan Ikhwanul Muslimin bahawa tentera bercadang menyingkirkannya menerusi rampasan kuasa dengan menekankan ia hanya memberi maklum balas terhadap kehendak rakyat.
Sebelum penggulingan Morsi, rakyat Mesir yang kecewa selepas setahun pemerintahannya mengadakan bantahan besar-besaran menuntutnya berundur.
Bulan lalu, sebuah mahkamah mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan membekukan asetnya.- REUTERS
0 komentar:
Posting Komentar